-->

8 Resepi Sambal Handmade Sesuai Dimakan Bersama Juadah Utama

resepi sambal homemade

Sambal adalah antara sajian sampingan yang sangat digemari ramai. Jika rasa juada utama kurang rasa, tetapi dengan adanya samla atau pencicah tambahan ini, pastinya akan menjadikan juadah utama lebih enak dan nak rasa.

5 resepi sambal, pes atau pencicah ini selain daripada sajian sampingan, ianya juga sesuai untuk bisnes kecil-kecilan. Jadi untuk mereka yang sedang berjinak-jinak untuk tambahan pendapatan, anda boleh dapatkan resepi beberapa sambal disini seperti sambal belacan, sambal hijau dan sebagainya.

Selain itu, sambal-sambal ini juga mudah disediakan, tambahan lagi memang ramai peminatnya dengan rasa yang sedap.

8 Resepi Sambal Homemade Yang Peling Popular

Sambal-sambal, air asam atau pes ini perlulah sesuai disediakan bersama juadah utama seperti lazimnya. Jadi apa tunggu lagi, jom kita tengok 8 resepi popular sambal homemade yang mudah disediakan ini.

#1 - Sambal Kicap

Sambal Kicap

Sambal kicap yang sedap dan sesuai dinikmati dengan pelbagai makanan terutamanya masakan sup.

Bahan-Bahan

  • 2 genggam cili padi hijau
  • 8 ulas bawang putih
  • Kicap lemak manis secukupnya (Kicap Jalen)
  • 2 sudu makan kicap pekat
  • 2 sudu makan kicap cair
  • Sedikit gula
  • Garam jika perlu

Cara Memasak

  1. Panaskan minyak dan goreng cili padi serta bawang putih seketika hingga wangi.
  2. Masukkan bahan goreng ke dalam pengisar. Tambahkan kicap sehingga menutupi paras cili dan bawang putih tadi
  3. Tambahkan juga kicap pekat dan kicap cair
  4. Perasakan dengan sedikit gula adn secubit garam jika perlu
  5. Kisar hingga lumat dan tuang ke dalam mangkuk. Kacau sebati
  6. Simpan dalam bekas tertutup untuk lebih tahan lama

#2 - Pes Sambal Ikan Bilis

Sambal Ikan Bilis

Bahan-Bahan

  • 1 genggam ikan bilis (dibersihkan)
  • 1 mangkuk cili kisar (boleh guna kombinasi cili kering besar dan kerinting untuk rasa sambal pedas-pedas manis)
  • Secubit asam jawa (larutkan dengan 1/4 gelas air)
  • 2 setengah sudu makan gula melaka
  • 4 sudu makan gula
  • Sedikit garam
  • Minyak masak secukupnya

Bahan Kisar

  • 1 biji bawang Holland/kuning
  • 2 biji bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • Sediki belacan (atau udang kering)
  • Setengah genggam ikan bilis goreng

Cara Memasak

  1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis hingga garing. Angkat dan toskan minyak
  2. Dengan menggunakan minyak gorengan yang sama, tumis bahan kisar hingga naik bau
  3. Seterusnya masukkan cili kisar. Tumis hingga pecah minyak menggunakan api perlahan. Tutup kuali dan biarkan ia mereneh dan cili betul-betul masak
  4. Masukkan air bancuhan asam jawa. Kacau rata
  5. Selepas bahan mendidih, masukkan 1 sudu makan ikan bili goreng. Gaul rata
  6. Bagi mendapatkan warna sambal yang cantik, masukkan gula melaka
  7. Tambahkan juga gula putih dan juga sedikit garam. Tidak perlu banyak kerana ikan bilis sudah mempunyai rasa masin
  8. Bila sambal mula likat dan berkilat, padamkan api. Siap untuk dinikmati bersama nasi lemak terutamanya

#3 - Sambal Belacan Thai

Sambal Belacan Thai

Bahan-Bahan

  • 1 genggam cili padi merah dan hijau
  • Setengah biji bawang merah saiz besar
  • 1/4 keping kecil gula melaka
  • 1 labu bawang putih jeruk
  • 2 inci belacan
  • 2 sudu makan cuka
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah sudu makan gula
  • Bahan perasa secukupnya
  • Sedikit air
  • 1-2 hiris limau nipis

Cara Memasak

  1. Satukan cili padi, bawang merah, gula melaka, bawang putih jeruk dan belacan dalam pengisar
  2. Kemudian masukkan juga cuka, garam, gula, serbuk perasa dan sedikit air. Pastikan air tidak terlalu banyak untuk elak sambal jadi terlalu cair
  3. Kisar kesemu bahan hingga lumat
  4. Tuang sambal ke dalam mangkuk dan perah jus limau nipis. Kacau sebati.
  5. Sedia untuk dihidangkan

#4 - Air Asam

Air Asam

Bahan A

  • 2 biji bawang merah
  • 1 biji bawang besar Holland
  • 1 biji tomato
  • 3 ulas bawang putih
  • 2 inci belacan

Bahan B

  • 1 biji lemon (ambil jusnya)
  • 1 biji limau nipis (ambil jusnya)
  • 3 tangkai cili padi hijau dan merah

Bahan-Bahan Lain

  • 1 genggam asam jawa
  • 1 setengah gelas air
  • 1 sudu makan garam bukit
  • Setengah sudu makan gula perang

Cara Memasak

  1. Belah dua bahan-bahan A kecuali belacan. Bakar atas pan non-stick
  2. Satukan bahan-bahan B ke dalam pengisar
  3. Ambil asam jawa dan campurkan dengan air. Sebatikan dan masukkan ke dalam bekas pengisar
  4. Tambahkan garam dan juga gula perang. Kisar halus
  5. Simpan stok air asam di dalam bekas kedap udara dan letak dalam peti sejuk
  6. Sedia digunakan pada bila-bila masa

#5 - Sambal Thai Pencicah Daging Bakar

Sambal Thai Pencicah Daging Bakar

Anda boleh guna sambal Thai ini untuk cicah daging bakar seperti daging harimau menangis.

Bahan-Bahan

  • 3 tangkai cili merah
  • 4 tangkai cili padi hijau
  • Sehiris nipis halia
  • 1 keping kecil manisan atau gula melaka
  • 4 sudu makan sos ikan
  • Sedikit air
  • 2 ulas bawang putih (racik halus)
  • 1 biji limau nipis
  • 1 hiris lemon
  • Sedikit perisa
  • Hirisan daun ketumbar secukupnya
  • Bijan sangai secukupnya

Cara Memasak

  1. Satukan cili merah, cili padi, halia, gula melaka, sos ikan dan sedikit air. Kisar
  2. Tuang ke dalam mangkuk. Perah jus limau nipis dan juga jus lemon
  3. Tambahkan juga bawang putih yang diracik halus
  4. Tambahkan sedikit perencah dan kacau sebati
  5. Akhir sekali, tabur hirisan daun ketumbar dan bijan yang disangai
  6. Sedia untuk dinikmati bersama daging bakar

#6 - Sambal Hijau

Sambal Hijau

Bahan Kisar A

  • 4 ulas bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 7 ekor ikan bilis
  • Secubit belacan

Bahan Kisar B

  • 5 tangkai cili hijau
  • 2 genggam cili padi hijau

Bahan-Bahan Lain

  • 1 keping asam gelugur
  • Setengah keping manisan atau gula melaka
  • Garam, gula dan perasa secukupnya

Cara Memasak

  1. Panaskan satu senduk minyak masak dan tumis bahan kisar A sehingga wangi. Kemudian masukkan pula bahan kisar B
  2. Bila cili masak sempurna, masukkan sekeping asam. Barulah tambahkan separuh keping kecil manisan atau gula melaka. Masukkan sedikit air jika perlu
  3. Perasakan dengan garam, gula atau perasa mengikut cita rasa sendiri
  4. Tutup api selepas semua rasa sebati dan sambal masak
  5. Sedia untuk dinikmati 

#7 - Sambal Ayam Penyet

Sambal Ayam Penyet

Ini pastinya sesuai dihidangkan bersama nasi putih, ayam penyet dan ulam-ulaman

Bahan-Bahan

  • 20 batang cili merah
  • 1 genggam cili padi merah dan hijau
  • 1/4 bawang holland
  • 2 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 2 biji tomato kecil
  • 1 mangkuk kecil ikan bilis
  • 1 sudu teh udang kering
  • Secubit belacan
  • Garam dan gula perang secukup rasa

Cara Memasak

  1. Panaskan minyak masak dan goreng cili merah serta cili padi seketika. Angkat dan toskan
  2. Kemudian goreng bahan-bahan lain satu persatu. Ketepikan
  3. Satukan semua bahan yang siap digoreng ke dalam pengisar. Tambah sedikit air untuk melumatkan bahan (simpan 1 genggam ikan bilis untuk ditabur dalam sambal)
  4. Panaskan minyak gorengan tadi. Tumis bahan-bahan kisar. Kacau sebati
  5. Masukkan baki ikan bilis goreng tadi. Biarkan sambal masak menggunakan api perlahan
  6. Perasakan dengan gula perang dan garam dengan secukup rasa
  7. Bila sudah cukup rasa, padam api dan sejukkan terlebih dahulu sebelum disimpan dalam bekas

#8 - Sambal Belacan

Sambal Belacan

Sesuai dimakan bersama aneka lauk bergoreng

Bahan-Bahan

  • 1 genggam cili padi merah dan hijau
  • 3 biji cili merah
  • 7 biji limau kasturi (buang biji)
  • 1 biji lemon (untuk diperah)
  • Sedikit air

Bahan Bakar

  • 1 ulas bawang merah
  • 1/4 bawang Holland
  • 2 ulas bawang putih
  • 1 biji tomato
  • 1 setengah inci belacan

Bahan Perasa

  • 8 sudu makan gula merah
  • 1 sudu teh serbuk perasa
  • 2 sudu teh garam bukit

Cara Memasak

  1. Masukkan bahan bakar (simpan sedikit bawang untuk dihiris nanti), cili, 3 biji limau kasturi bersama kulitnya, jus dari sebiji lemon dan bahan perasa. Bahan perasa boleh dimasukkan sedikit demi sedikit atau terpulang pada cita rasa masing-masing
  2. Masukkan juga sedikit sahaja air. jangan banyak nanti sambal terlalu cair. Kisar hingga lumat
  3. Tuang sambal belacan siap kisar ke dalam bekas
  4. Tambahkan hirisan lebihan bawang bakar, baki jus limau kasturi dan juga hirisan kulit limau kasturi
  5. Kacau sebati dan siap untuk dinikmati bersama aneka sayur dan ulam

Jangan lupa cuba tau...

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel